Friday, 10 February 2017

Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

loading...


Tahun 2017 merupakan tahun yang agak mencabar untuk rakyat Malaysia. Manakan tidak, harga minyak petrol RON 95 dan juga RON 97 naik dengan drastik bermula 1 Januari lalu, dan terus naik hingga bulan ini, dijual pada kadar RM2.30 seliter untuk 95 dan RM2.60 untuk 97. Tidak cukup dengan itu, ada juga penganalisis berpendapat bahawa harga bahan api ini akan terus meningkat bagi tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
Seperti biasa, apabila harga bahan api ini naik pada kadar yang sangat tinggi, rakyat Malaysia mula dahagakan petua-petua untuk menjimatkan penggunaan petrol. Ini termasuklah tularnya teori kononnya anda akan menikmati penjimatan dan lebih bijak sekiranya anda menggunakan petrol RON 97 yang lebih mahal, kerana didakwa mampu memberikan pembakaran yang lebih efisien.
Benarkah dakwaan ini? Untuk cuba mencari jawapan terhadap perkara tersebut, kami tidak akan melakukan perkara seperti sekadar menunjukkan sekeping kertas dengan jalan kerja matematik, tetapi melakukakan ujian jalan raya sebenar terhadap kedua-dua jenis bahan bakar ini.
Sebenarnya, sebelum ini pasukan Paultan.org versi bahasa inggeris telah pun melakukan ujian yang samamenggunakan dua unit Volkswagen Polo Sedan dan juga dua unit Volkswagen Jetta TSI pada tahun 2014. Namun ada suara-suara yang mengatakan penggunaan dua model tersebut terlalu canggih, dan tidak berapa relevan dengan penggunaan rakyat biasa yang rata-rata menggunakan kenderaan jenama nasional.
Oleh itu, untuk ujian yang dijalankan sendiri pasukan Paultan.org/BM kali ini akan menggunakan kereta yang lebih marhaen iaitu dua buah Proton Saga 1.3L CVT dari varian Premium. Untuk ujian kali ini juga, saya dan Durrani turut ditemani dan mendapat kerjasama rakan-rakan media dari Segmen Auto – Buletin Utama TV3 bagi menyaksikan sendiri fakta yang bakal didedahkan.
Sehari sebelum ujian ini, kedua-dua kereta yang sama tersebut telah dikosongkan tangkinya. Kemudian Saga berwarna kelabu diisi sedikit dengan petrol RON 97, manakala yang hitam diisi dengan RON 95. Ini bertujuan untuk memastikan kotak komputer enjin kereta-kereta berkenaan sudah sedia ditala secara automatik untuk menyesuaikan jenis petrol yang bakal diisi esok. Kesemua tayar juga dilaras tekanannya mengikut spesifikasi yang dikeluarkan oleh Proton iaitu 220 kPa.
Kedua-dua ruang kargo kereta ini juga telah kami kosongkan, tanpa membawa apa-apa beban tambahan. Suhu dan kelajuan motor penghawa dingin kedua-dua Saga ini juga kami laras pada tahap yang sama. Kami bermula di stesen Petronas Taman Tun Dr Ismail Damansara. Kedua-dua Saga ini dipenuhkan tangkinya dengan kaedah tiga klik (tunggu sehingga nozel pam berhenti secara automatik, ulang sebanyak tiga kali). Sama seperti semalam, Saga kelabu menggunakan RON 97 manakala Saga hitam menggunakan RON 95.
Dari TTDI, kami menuju ke pusat bandaraya Kuala Lumpur pada waktu pagi, bagi memberikan simulasi sebenar penggunaan pada kesesakan di dalam bandar. Perjalanan dalam bandar ini dilakukan dalam jarak sekitar 30 km, di mana kami bertukar kereta pada jarak 15 km sebagai timbal-balas untuk faktor gaya pemanduan yang berbeza. Kedudukan depan dan belakang juga bertukar bagi mengelakkan kesan drafting, atau bahasa mudahnya ‘curi angin’ untuk kereta yang berada di belakang.
Dari Kuala Lumpur, kami menuju ke Hulu Yam menerusi Gombak, dan kemudian ke Batang Kali serta Tanjung Malim tanpa melalui lebuhraya. Dalam laluan untuk memberikan simulasi perjalanan melalui jalan lama ini juga, pertukaran pemandu turut dilakukan dalam jarak 50 km manakala kedudukan pendahulu bertukar setiap 20 kilometer.
Dari Tanjung Malim, kami pulang menuju ke Kuala Lumpur menerusi Lebuhraya Utara Selatan. Pertukaran pemandu dan kedudukan pendahulu juga masih dilakukan pada jarak sama sepanjang simulasi perjalanan lebuhraya ini. Ujian ini berakhir di tempat yang sama kami bermula iaitu stesen Petronas TTDI. Saga Ron 95 mencatatkan bacaan meter trip 171.4 km, manakala Saga Ron 97 mencatatkan 171.8 km, memberikan purata perjalanan kedua-duanya 171.6 km.
Kemudian, kami memenuhkan semula kedua-dua tangki dari pam yang sama, menggunakan kaedah tiga klik yang sama – jumlah isian penuh tersebut memberikan jumlah penggunaan petrol pada setiap kereta ini. Keputusannya? Saga RON 95 menggunakan petrol sebanyak 11.701 liter, manakala Saga Ron 97 mengunakan sebanyak 12.24 liter.
Setelah dikira, Saga yang menggunakan RON 95 mencatatkan penggunaan bahan api 14.65 km untuk setiap liter petrol atau 6.8 liter petrol untuk perjalanan 100km. Dari segi jumlah perbelanjaan pula, kos keseluruhan adalah RM26.91 atau 15 sen untuk setiap satu kilometer.
Manakala untuk Saga yang diisi oleh RON 97 pula, ia mencatatkan penggunaan bahan api 14.04 kilometer untuk setiap liter atau 7.1 liter untuk perjalanan 100 kilometer. Ia bersamaan kos keseluruhan RM31.82 atau 18 sen untuk setiap kilometer. Kesimpulannya mudah yang boleh di buat daripada ujian ini – penggunaan RON 95 adalah 3 sen lebih jimat untuk perjalanan satu kilometer berbanding RON 97.
Dari segi prestasi juga, kami tidak merasakan sebarang perbezaan ketara antara kedua-dua Saga ini, di mana karekter pecutannya yang agak seiras. Keputusan ini agak sama dengan ujian pada Volkswagen sebelum ini, di mana penggunaan RON 97 adalah sedikit lebih banyak berbanding RON 95, pada enjin yang sama dan perjalanan yang sama.
Jadi, apa penjelasan teknikal disebalik keputusan yang kami terima dari ujian ini? Saya percaya, ramai dari kalangan masyarakat berpendapat, semakin tinggi RON, petrol berkenaan mampu terbakar lebih efisien dengan memberikan kuasa letusan yang lebih kuat. Tidak kurang juga yang menyatakan kualiti petrol RON lebih tinggi turut mempengaruhi kadar ‘kebersihan’ petrol tersebut.
Namun hakikat yang sebenarnya adalah, RON atau Research Octane Number ini berkaitan ketahanan petrol berkenaan daripada meletup sendiri tanpa percikan api dari palam pencucuh ketika ia diberikan mampatan (compression) yang kuat. Fenomena petrol meletup sendiri sebelum diberikan nyalaan api ini digelarknocking (mengeluarkan bunyi ketukan luar biasa dari kebuk pembakaran enjin), dan ia akan menyebabkan enjin menghasilkan haba yang lebih tinggi serta kuasa yang diekstrak secara tidak optimum.
Knocking akan terhasil atas berberapa faktor, antaranya deposit karbon yang telah terhasil di dalam enjin yang sudah lama tidak dirombak rawat, menyebabkan ia menyala dan menyebabkan pembakaran campuran bahan api dan udara berlaku lebih awal dari yang sepatutnya. Satu lagi sebab mengapa knocking terjadi adalah kerana petrol dengan RON rendah digunakan pada enjin yang direka dengan kebuk pembakaran yang akan menghasilkan nisbah mampatan yang tinggi – ini berkaitan dengan apa yang terjadi dalam ujian yang kami lakukan.
Untuk kereta penumpang biasa, enjin-enjin yang dibekalkan kebiasaannya mempunyai kadar nisbah mampatan yang rendah – dalam kes Saga 1.3L vvt ini nisbah mampatannya adalah 10.1:1. Penggunaan petrol RON 95 tidak akan menyebabkan langsung masalah knocking. Jadi, jika anda menggunakan petrol RON 97, ia tidak akan mendatang sebarang kesan, malah mungkin akan menyebabkan sedikit impak jika enjin berkenaan ditala di kilang bagi mendapatkan kuasa optimum menggunakan petrol RON 95.
Ibaratnya, jika anda seorang manusia normal yang bekerja di pejabat tanpa terlibat dengan apa-apa aktiviti sukan, tiba-tiba diberikan makanan tambahan dan juga supplement lengkap seorang atlit pelari pecut. Adakah tindakan tersebut akan menjadikan kerja anda di pejabat menjadi lebih produktif? Tentunya tidak.
Enjin bagaimana yang mempunyai nisbah mampatan tinggi ini? Kebiasaanya, enjin yang mempunyai nisbah mampatan tinggi adalah enjin berprestasi tinggi tanpa diberikan suapan induksi paksaan seperti pengecas turbo atau supercharger (Naturally Aspirated atau NA), contohnya enjin K20A DOHC i-VTEC dari Honda Civic Type-R FD2 yang mempunyai nisbah mampatan setinggi 11.7:1.
Enjin-enjin moden yang dilengkapi sistem suntikan bahan api juga kebiasaanya dilengkapi penderia yang diletakkan pada bahagian blok untuk mengesan berlakunya masalah knocking ini, digelar sebagai knock sensor.
Jika penderia ini mengesan berlakunya knocking dalam kebuk pembakaran atas apa akibat sekalipun, ia akan menghantar isyarat ke kotak komputer enjin, seterusnya pemasaan percikan api dari palam pencucuh akan dilaras semula untuk melenyapkan masalah tersebut – inilah punca mengapa enjin-enjin yang direka untuk menggunakan petrol dengan RON tinggi tidak menghasilkan kuasa yang optimum sekiranya menggunakan petrol dengan RON lebih rendah.
Enjin turbo dan supercharger kebiasaanya juga mempunyai nisbah mampatan yang rendah – contohnya enjin 2.0 liter TSI Volkswagen Golf GTI yang mempunyai nisbah mampatan 9.6:1 – kerana kuasa tekanan positif atau boost yang diberikan bakal memendekkan jangka hayat enjin sekiranya ditala dengan nisbah mampatan tinggi.
Satu lagi contoh enjin dengan nisbah mampatan tinggi ini adalah enjin NA yang telah diubahsuai dengan ‘memotong’ untuk memendekkan kepala silinder enjin (head skimming) bagi tujuan mendapatkan nisbah mampatan yang lebih tinggi, membolehkan kuasa lebih optimum di capai – lazimnya dilakukan oleh mekanik-mekanik ubahsuai kereta dan motosikal.
Selain dari teori teknikal ini, kami turut mendapatkan komen dari Eksekutif Teknologi Bahan Api Petronas Dagangan Berhad, Mohamad Hafiz Abd Aziz, berkenaan hasil keputusan ujian yang kami jalankan tersebut. Menurut Hafiz, banyak faktor yang akan mempengaruhi tahap penggunaan petrol sesebuah kenderaan.
“Untuk menentukan tahap penggunaan petrol semasa sesebuah kenderaan, ada banyak faktor-faktor lain yang akan mempengaruhinya, selain daripada petrol yang digunakan. Sebagai contoh, sistem enjin kenderaan, beban yang dibawa, tekanan tayar, keadaan trafik dan sebagainya. Secara umumnya, jika menyentuh tentang penjimatan kos, saya percaya RON95 tetap mempunyai kelebihan.
“Bacaan yang diperoleh daripada pemerhatian terhadap dua buah Proton Saga 1.3 ini, dengan perbezaan 3 sen bagi setiap kilometer antara unit yang menggunakan RON95 dan RON97 boleh disifatkan sebagai suatu bacaan yang normal dan memang dijangkakan daripada kedua-dua jenis petrol berkenaan,” jelasnya.
“Tentang tanggapan yang menyatakan bahawa penggunaan RON97 akan memberikan prestasi pemanduan lebih baik dan juga jarak perjalanan yang lebih jauh, itu ada kebenarannya. Dari segi prestasi, memang betul. Tetapi, jika dilihat dari segi kos wang ringgit yang dibelanjakan bagi setiap kilometer jarak, RON95 akan memberi lebih penjimatan kepada pengguna, terutama dengan perbezaan harga runcit 30 sen seliter di antara keduanya waktu ini,” tambah Hafiz lagi.



EmoticonEmoticon